Thursday, September 10, 2009

10 Malam Terakhir Ramadhan...

Pejam celik,pejam celik kita dah melangkah ke 10 malam terakhir ramadhan.Tidak lama lagi kita semua akan menyambut hari raya aidilfitri.Namun begitu,janganlah kita lupa bahawa 10 malam terakhir inilah yang amat berharga pada kita semua kerana terdapat 1 malam yakni malam lailatul qadar dimana ia adalah suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Ar-Rasul SAW telah bersabda:

Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan dosanya yang akan datang, sesiapa yang menghidupkan qiyamullail dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan yang akan datang.

Dosa itu merangkumi sama ada dosa kecil ataupun dosa besar. Tetapi pendapat yang terkenal mengenai hadith ini menunjukkan kepada dosa kecil sahaja yang akan diampunkan. Dosa besar tidak akan diampunkan kecuali dengan taubat nasuha serta memenuhi syaratnya iaitu menyesal di atas perbuatan itu, berazam tidak tidak akan mengulangi untuk melakukan dosa dan memulangkan hak sesiapa yang diambil. Imam Nawawi berkata: Telah maklum bahawa pengampunan dosa hanyalah untuk dosa-dosa kecil sahaja.

Setibanya 10 malam terakhir ini, kita amat-amat digalakkan supaya memenuhi aktiviti kita dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti qiyamullail,berzikir,membaca al-quran dan sebagainya.

Bilakah Malam Lailatul Qadar???

Allah swt. menetapkan bahawa waktu sebenar berlakunya malam Qadr tidak diberitahu secara jelas supaya manusia tidak bersikap malas. Sebaliknya Allah swt. menyembunyikan waktu terjadinya malam berkenaan supaya orang-orang Islam terus menghidupkan sebanyak masa yang mungkin sama ada pada waktu siang ataupun malam agar berterusan melakukan ibadat. Hal yang demikian juga berlaku di dalam banyak perkara. Allah SWT menyembunyikan saat kematian dan waktu sampainya ajal supaya takut pada Allah berterusan dan seorang Muslim juga mentaati Tuhannya tanpa henti.

Ibnu umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw. bersabda:
Carilah ia (malam Qadr) pada 10 malam terakhir. Sekiranya seseorang daripada kamu merasa lemah atau letih, maka janganlah lagi dia ditewaskan pada tujuh malam terakhir.

Malam Qadr mempunyai banyak tanda dan alamat. Di antara tanda-tandanya ialah matahari terbit dengan sifat yang ia tidak mempunyai sinaran yang terik. Malamnya nyaman, tidak panas dan tidak pula sejuk, waktu pagi matahari terbit dalam warna kemerah-merahan.

Perkara utama yang sepatunya diingati ialah bahawa Malam Qadr adalah suatu malam yang penuh kelebihan dan kemuliaan. Setiap daripada kita perlu mengambil kesempatan untuk melakukan ibadat dan jangan sekali-kali menahan dirinya daripada menadah tangan untuk berdo'a. Dengan menyebut:

اللهم إنك عفو تحب العفوفاعف عني

"Maksudnya: Ya allah! Engkaulah yang Maha Pemaaf dan Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah diriku."

Imam Al-Sawi menyebut dalam kitab tafsirnya: Sebaik-baik doa yang dipinta pada malam itu ialah keampunan dan kesihatan.

Akhir kata, sama-samalah kita memohon kepada Allah agar memberi manfaat kepada kita dengan nilai-nilai kebaikan Ramadan serta bekal yang ada di dalamnya. Semoga Allah menjadikannya bermanfaat untuk kita.


REBUTLAH MALAM YANG LEBIH BAIK DARI SERIBU BULAN YAKNI

MALAM LAILATUL QADAR


No comments:

Post a Comment