Sunday, February 22, 2009

Malam penuh gemilang Kelantan


MEMANG bukan calang-calang.


Selepas meratah Pahang dalam saingan Liga Super Selasa lalu, kini giliran Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terpaksa menanggung kegarangan Kelantan musim ini.

Kemenangan 5-1 ke atas PDRM di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV pada aksi pertama, pusingan kedua Piala FA malam tadi menyaksikan Kelantan semakin komited memburu kejuaraan musim ini.

Babak pertama perlawanan menyaksikan persembahan hambar kedua-dua pasukan dan tuan rumah dikejutkan dengan jaringan awal PDRM menerusi Fauzi Majid pada minit kelapan.

Bagaimanapun, penyerang Kelantan, Khalid Jamlus kembali meniupkan semangat tuan rumah tiga minit kemudian apabila bijak melakukan larian solo sebelum merembat masuk bola ke gawang lawan.

Aksi separuh masa kedua menyaksikan sang Kijang menguasai sepenuhnya permainan dan pada minit ke-63, Khalid sekali lagi menggegarkan stadium dengan jaringan kedua peribadinya.

Lima minit berselang, giliran Norfarhan Mohamad mencetak nama sebagai penjaring apabila rembatannya gagal diselamatkan penjaga gol PDRM, Hamdan Sairi.

Kelantan yang mahu membawa bekalan selesa sebelum bertandang ke Selayang pada perlawanan kedua Selasa ini terus melancarkan serangan memburu gol.

Indra Putra Mahyuddin terus menggembirakan 10,000 penyokong tuan rumah dengan jaringan keempat pada minit ke-80.

Seminit kemudian, supersub Kelantan, Ramzul Zahini melengkapkan malam gemilang Kelantan dengan gol kelima tuan rumah.


SUMBER: KOSMO Online

No comments:

Post a Comment